Sudah menjadi fitrah semulajadi
setiap wanita ingin kelihatan cantik dan memiliki bentuk tubuh yang menarik. Bukan
wanita sahaja, bahkan kaum Adam dewasa ini mengimpikan hal yang sama. Kebanyakan
wanita beranggapan bahawa tubuh yang langsing melambangkan kecantikan dan
kejayaan seseorang individu. Dengan penampilan sebegitu mereka lebih
berkeyakinan apabila berhadapan dengan masyarakat umum.
Telah banyak kes dilaporkan di media
cetak tentang kesan sampingan pil pelansingan badan. Banyak juga siaran berita
tentang rampasan ubat tiruan yang kebanyakan adalah pil untuk kecantikan
termasuk pil pelansing. Namun semua itu tidak membantutkan hasrat golongan
berkenaan untuk terus dan terus mencuba produk berkenaan. Apakah ini satu trend
wanita masa kini, sanggup bergadai nyawa untuk memiliki tubuh yang langsing?
Walau apapun persoalannya, amalan ini bukan sahaja merugikan malah tanpa
disedari boleh membahayakan kesihatan dan mengancam nyawa sendiri.
Banyak pil langsing telah dikesan
mengandungi “fenfluramine” dan ‘nicotinamide” yang telah diharamkan penggunaan
dan penjualannya hampir di seluruh dunia.
Apakah itu Fenfluramin?
Fenfluramin tergolong dalam kumpulan
ubat anoretik yang bertindak mengurangkan paras serotonin di dalam otak. Ia
merencat selera makan dan seterusnya mengakibatkan pengambilnya mengalami
penyusutan berat badan. Serotonin ialah sejenis bahan kimia yang berfungsi sebagai
pengutus saraf di dalam otak.
Ia juga bertindak menghalang
serotonin di dalam plasma darah daripada diserap ke dalam platelet (sel-sel
pembekuan dalam darah) menyebabkan paras serotonin di dalam darah meningkat.
Apabila kandungan serotonin terlalu
tinggi dalam darah ia boleh merosakkan salur darah terutama pada paru-paru dan
jantung, kerosakan injap jantung, kelenjar tiroid membengkak, kerosakan hati,
tekanan darah tinggi, strok serta gangguan mental. Kegagalan fungsi hati pula
boleh berlaku dalam masa satu minggu hingga sebulan jika diambil secara
berlebihan. Sekiranya diambil secara berterusan dalam jangkamasa yang lama, ia
boleh mengakibatkan radang hati (hepatitis).
Pada kebiasaanya fenfluramin
digunakan untuk merawat kes kegemukan melebihi 20 peratus berat badan yang
dicadangkan. Ia boleh menurunkan sebanyak 10 peratus berat badan manakala dalam
sesetengah kes sehingga antara 15 dan 20 peratus. Ia juga disyorkan kepada
pesakit diabetes yang gemuk bagi membantu menurunkan berat badan mereka untuk
mengelakkan risiko lain.
Kesan sampingan akibat mengamalkan
pil langsing antaranya ialah cirit-birit, mual mulut menjadi kering,
hipertensi, sukar hendak tidur, rasa panas badan, berdebar-debar, sakit dada,
berpeluh dan kerap membuang air kecil.
Walaupun kebanyakan jenama pil
pelangsing telah diharamkan di negara kita, tetapi masih ada lagi yang boleh
diperolehi secara haram. Pengambilan pil-pil ini hanya akan mengundang bahaya
kerana kebiasaanya ia tidak dilabel dengan lengkap dan pengguna sukar untuk
mengenalpasi kesan akibat penggunaannya.
So moral of the story, elakkan diri
daripada menggunakan pil pelangsing. Sebaliknya jika ingin menguruskan badan
lakukannya dengan cara yang selamat dan sihat, iaitu dengan bersenam, bersukan
atau apa-apa aktiviti lain yang boleh mengeluarkan peluh. Cuba jauhi penggunaan pil pelangsing
kerana ia mendatangkan pelbagai kesan mudarat kepada kesihatan dalam jangka
masa panjang malah boleh membawa maut. Pengguna mungkin berpuas hati dengan
berat badan yang hilang tetapi risiko jangka panjangnya juga perlu diambil kira
sebelum sesuatu yang buruk berlaku.