Thursday, April 16, 2015

Probiotik - 4



Penggunaan mikrob dalam kehidupan kita bukan bermula 5 tahun lepas, atau 10 tahun lepas. Bahkan ia telah lama daripada itu. Pernah makan tapai? Tahu tak bagaimana membuat tapai? Emak saya pernah dan masih lagi membuat tapai. Sedap tau. Emak saya buat sekali seminggu je..pada hari Rabu pagi biasanya.

Tapai perlu diperam selama 2 malam untuk menghasilkan tapai yang sedap manis. Tapai itu akan dijual di kedai abang saya pada hari Jumaat pagi. Pembuatan tapai memerlukan mikrob yang bernama yis @ yeast. Orang kampung panggil yis yang berbentuk ketul sebesar  ibu jari kaki sebagai ragi. Penggunaan yis telah lama digunakan oleh orang melayu sejak zaman berzaman lagi. Itu menunjukkan bahawa kita telah memanfaatkan penggunaan mikrob.

Probiotik juga merupakan mikrob. Sekarang ia boleh didapati dalam bentuk cecair seperti minuman berkultur, serbuk dalam sachet, mahupun pil. Banyak kajian menunjukkan probiotik bagus untuk kesihatan usus secara umumnya.



Kita masuk ke bahagian seterusnya yang serius sikit...



Mikrob yang lazimnya digunakan sebagai probiotik ialah daripada Lactobacillus dan Bacillus spp. Untuk genus Bacillus sahaja, ia telah berkembang menjadi lebih daripada 100 spesies dalam 3 dekad yang lepas contohnya, B. Subtilis, B. Licheniformis, B. Clausii, B. Cereus, dan banyak lagi. Kebanyakan spesis adalah selamat. Namun segelintirnya mempunyai rekod ‘gelap’. Contohnya sesetengah ‘strain’ B. Cereus mempunyai kerintangan terhadap antibiotik dan menghasilkan enterotoxin dan/atau toksin emesis (emetic toxin). [Rujuk Logan NA (2004) Safety of aerobic endospore-forming bacteria. In: Ricca E, Henriques AO, Cutting SM (eds) Bacterial spore formers: probiotics and emerging applications. Horizon Bioscience, Norfolk, UK, pp 93–106]. Beberapa lagi kajian saintifik menunjukkan perkara itu.

Lantaran itu WHO dan Kesatuan Eropah menarik perhatian masyarakat tentang beberapa penerbitan saintifik tentang masalah ini. Contohnya;

  • Duc LH, Hong HA, Barbosa TM, Henriques AO, Cutting SM (2004) Characterization of Bacillus probiotics available for human use. Appl Environ Microbiol 70:2161–2171.
  • From C, Pukall R, Schumann P, Hormazabal V, Granum PE (2005) Toxin-producing ability among Bacillus spp. outside the Bacillus cereus group. Appl Environ Microbiol 71:1178–1183.
  • Phelps RJ, McKillip JL (2002) Enterotoxin production in natural isolates of Bacillaceae outside the Bacillus cereus group. Appl Environ Microbiol 68:3147–3151.
  • Rowan NJ, Caldow G, Gemmell CG, Hunter IS (2003) Production of diarrheal enterotoxins and other potential virulence factors by veterinary isolates of bacillus species associated with nongastrointestinal infections. Appl Environ Microbiol 69:2372–2376.

Lantaran keluasan diversiti yang semakin berkembang pada mikrob dan insiden-insiden yang  boleh menggoyangkan dunia kesihatan, maka penggunaan bakteria dalam penyediaan produk semakin dititikberatkan. Pihak industri atau pengeluar produk mesti mempunyai standard prosedur yang ketat. Namun tiada standard antarabangsa berkaitan penilaian ‘keselamatan’ probiotik dikeluarkan. Di Amerika Syarikat, bakteria yang dianggap selamat untuk penggunaan oleh manusia diberi status GRAS (Generally Regarded As Safe) oleh FDA.

Yang terbaru, European Food Safety Authority (EFSA) mengemukakan konsep ‘Qualified Presumption of Safety (QPS) ke atas mikrob. [Rujuk European Food Safety Authority (2005) Opinion of the Scientific Committee on a request from EFSA related to a generic approach to the safety assessment by EFSA of microorganisms used in food/feed and the production of food/feed additives. EFSAJ 226:1–12]. QPS menuntut penilaian berikut sebelum dianugerahkan QPS, iaitu;

  1. Kepentingan taksonomi di dalam penilaian risiko mikrob.
  2. ‘familiarity’ penggunaan mikrob termasuk sejarah penggunaan untuk tujuan tertentu.
  3. Kepatogenan (pathogenicity).
  4. Bakteria hidup yang di’consume’ perlu bebas daripada resistan antibiotik.
  5. Tiada kebolehan untuk menghasilkan antibiotik.

Oleh sebab wujudnya beberapa penemuan yang mungkin  mencalarkan nama probiotik, maka pihak yang berkepentingan mungkin perlu mengeluarkan garis panduan tertentu. Namun jangan kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga. Ingat bahawa definisi probiotik merangkumi ia mesti membawa manfaat kesihatan. Jika manfaat kesihatn telah ditewaskan oleh keburukan, maka ia telah terkeluar daripada definisi probiotik.

Berikutan itu, saya mencadangkan agar profesional kesihatan yang berkenaan mengambil pendekatan berikut;
  1. Boleh menggalakkan penggunaan produk yang mengandungi probiotik kerana jika ia bernama probiotik ia dibuktikan memberi manfaat.
  2. Mengetahui dan menyarankan penggunaan probiotik yang betul seperti perlu mencapai kuantiti yang mencukupi (rujuk posting saya terdahulu tentang maksud probiotik), expiry date, dan penyimpanan (storage) yang betul.
  3. Cuba selidik apa mikrob yang digunakan dalam produk berkenaan. Mikrob yang mempunyai rekod tak baik mesti dielakkan.
  4. Mendapatkan pandangan pakar atau ‘second opinion’ bila perlu.

No comments: